BATIK BUATAN MALAYSIA
Namun para pengkaji mempercayai ia berasal dari kepulauan Melayu dan bahawa terdapat pemikiran di antara Asia Tenggara dan India pada zaman dahulu yang membawa batik menjelajah ke benua lain. Terdapat juga kemungkinan bahawa batik tiba di Mesir dari kepulauan Melayu melalui India memandangkan seni mengecap lilin ke atas kain kain adalah seni warisan Melayu berdasarkan rumusan pengkajian sejarahwan Winstedt dan Skeat.
Seni begini tidak pernah terdapat dalam tradisi budaya India.Teori ini diperkuatkan dengan perkataan batik itu sendiri berunsurkan Melayu dan Jawa iaitu titik dan amba (tulis).
Pendapat mengenai asal-usul batik bukan sahaja berdasarkan nama tetapi juga berdasarkan kepelbagaian teknik. Batik Pelagi misalnya, menggunakan teknik ikat celup dikenali di Malaysia dan di Indonesia sebagai pelangi atau titik yang mengambil kira kepelbagaian warna pelangi.
Definisi batik dipercayai berasal daripada Indonesia yang mana diambil daripada perkataan Melayu untuk titik dan Jawa 'mba' ertinya menulis. Oleh itu batik bererti menulis titik-titik yang dimaksudkan di sini sama ada berupa titik-titik dalam ertikata sebenar atau berupa bunga-bunga dan lain-lain motif kecil di atas permukaan kain. Kemudian, teknik untuk mewujudkan motif-motif itu bergantung pada zaman dan ruang.

2. JENIS-JENIS BATIK
Batik adalah seni kraf tekstil tradisi Melayu yang masih unggul hingga ke saat ini, dan ianya berpotensi menembusi pasaran antarabangsa. Corak dan kombinasi warnanya yang tidak lekang dek peredaran fesyen antarabangsa tanpa meninggalkan ciri tradisi tetap menjadi pilihan.
Terdapat beberapa teknik menghasilkan
batik. Antara teknik utama ialah Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin
dan Batik Perwarnaan Asli.
2.1 BATIK BLOK
Batik Blok dikenali juga sebagai
Batik Terap atau Batik Pukul merupakan salah satu daripada seni kraf
buatan tangan tradisional yang terkenal di Malaysia.Ia dihasilkan
melalui proses penerapan lilin dan penerapan warna. Sejarah
perkembangan batik di Malaysia
dipercayai bermula pada abad ke-15 Masihi dan ianya terus berkembang
terutama selepas tamat Perang Dunia Kedua.
Pengusaha batik di Kelantan dan
Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini.
Hasil hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya dan
ianya melambangkan kerja tangan masyarakat tempatan.
Di Malaysia, teknik terawal yang
diperkenalkan ialah Batik Blok. Proses awal dalam perkembangan membuat
Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang acuan kayu dengan menerap
sejenis pewarna hitam dan teknik awal ini dikenali sebagai 'terap
hitam'.Pada tahun 1930 an, penggunaan lilin dalam proses penerapan mula
diperkenalkan oleh pembuat batik di pantai Timur. Sejajar dengan itu,
acuan yang diperbuat daripada kepingan keluli mula digantikan dengan
acuan kayu sebelumnya.
Corak-corak acuan ini lebih
kemas dan halus buatannya.Acuan khas disediakan untuk menerap lilin pada
sarung di bahagian kepala kain, kapit kain, badan kain dan kaki kain.
Batik Blok adalah adaptasi
daripada unsur alam semulajadi. Kebanyakannya berdasarkan kepada flora
dan fauna. Corak flora dipilih daripada bahagian-bahagian tumbuhan yang
ditiru berasaskan bentuk bunga. Gubahan motif dan corak direka secara
realistik, abstrak dan stilisasi dalam bentuk geometrik atau organik.
Antara motif flora yang
digunakan untuk mencorak batik ialah pucuk rebung, pohon ara, bunga
tampuk manggis, bunga mangga, bunga cempaka, bunga buluh, bunga maman,
bunga kerak nasi, bunga berbaling, bunga raya, daun keladi, bunga kenaga
dan beberapa lain lagi. Manakala bagi motif fauna yang popular ialah
seperti jaring ikan dan ayam.
2.2 BATIK TULIS
Pengeluaran komersil Batik Tulis
di Malaysia hanya bermula sekitar tahun 1960 an dan memuncak pada awal
tahun 1990 an. Pengeluarannya tidak lagi tertumpu kepada Kelantan dan
Terengganu, malah telah berkembang ke bandar-bandar seperti Kuala
Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Pekan di Pahang dan Sabah.
Batik
Tulis dipercayai warisan dari batik Kraton, Jawa. Sungguhpun dihasilkan
menggunakan kaedah yang sama iaitu lakaran canting, wujud perbezaan
dari segi ciri-ciri rekaan malah juga estetik dan teknik pengeluran
antara kedua-duanya.
Batik Tulis juga dikenali
sebagai Batik Canting. Ianya diperbuat daripada pelbagai jenis kain
termasuk kapas, rayon, voile dan sutera. Ragam hiasnya terdiri daripada
motif tumbuh-tumbuhan serta corak geomatrik. Reka coraknya juga
mempunyai pelbagai susunan mengikut permintaan semasa.
Pengeluaran Batik Tulis dibuat
dengan menggunakan canting. Canting merupakan bekas tembaga kecil bagi
menakung lilin cair yang panas didalamnya serta mempunyai saluran kecil
yang dapat mengeluarkan lilin cair. Ia mempunyai pemegang supaya mudah
digunakan. Canting disikan dengan lilin panas dan dilukiskan melalui
hujung saluran canting ke atas kain yang telah diregangkan di atas
pemidang mengikut rekacorak yang dikehendaki. Kain yang telah dicanting
diwarnakan, dikeringkan, dimatikan warna dan direbus bagi mengeluarkan
lilin sebelum dikeringkan sekali lagi.
Pengenalan teknologi dalam pengeluaran Batik Tulis ialah I.C.A.T.S. Ia merupakan nama singkatan dari Sistem Tjanting Bersepadu Berbantukan Komputer - Integrated Computer Aided Tjanting System. Ia satu sistem peralatan yang menjalankan proses tjanting secara automatik. I.C.A.T.S terbahagi kepada dua sistem komputer iaitu Sistem Komputer Rekaan dan Sistem Komputer Kawalan I.C.A.T.S.

Antara ciri-ciri yang terdapat pada perisian ini adalah kemudahan potong dan tampal sesuatu corak yang sedang dibuat.
2.3 BATIK SKRIN
Batik Skrin dibuat dengan mengunakan blok skrin. Blok skrin disediakan berasaskan rekacorak yang dikehendaki. Bilangan blok yang disediakan bergantung kepada bilangan warna kain yang dikehendaki di mana setiap blok skrin boleh dicetak satu warna.
Di dalam proses penyediaan blok skrin secara manual, rekaan diambil gambar,filem dicuci, dibuat pengasiangan warna dengan memotong dan menampalkan filem di atas plastik.
Ia seterusnya didedahkan kepada cahaya di atas kain sutera saring yang diregangkan di atas bingkai dan telah disapukan dengan photo emulsion di atasnya.
Kemudian blok skrin itu dibersihkan bagi menghasilkan rekaan di atasnya. Blok skrin yang telah disediakan, digunakan untuk mencetak kain dengan pewarna yang dikehendaki di atas meja skrin. Kain yang telah dicetak dikeringkan dan dimatikan warnanya sebelum dibasuh dan akhirnya dikeringkan semula. Percetakan kain boleh diulang beberapa kali bergantung kepada bilangan warna yang dikehendaki.
Satu pendekatan baru yang berkonsep teknologi maklumat yang dirancang oleh Kraftangan Malaysia, khasnya di Kraftangan Malaysia Cawangan di Kelantan dengan memperkenalkan System Atex Design iaitu proses perisian menghasilkan rekacorak batik secara pengendalian komputer yang dijangka akan mempercepat proses pengeluaran dan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.
Kelebihan proses Atex Design berbanding proses rekaan skrin secara manual. Cara ini dapat menghasilkan rekaan dengan baik dan cepat. Proses grafik juga dapat dilakukan dengan cepat dan mudah.
2.4 BATIK PEWARNAAN ASLI
Pengenalan semula penggunaan warna asli daripada tumbuh-tumbuhan tempatan merupakan satu alternatif dan berkonsep mesra alam.Pengembalian semula kaedah ini wujud atas kesedaran masyarakat tempatan tentang budaya sihat dan mesra alam.
Batik Pewarnaan Asli turut mengaplikasikan pelbagai teknik untuk menghasilkan kreativiti batik yang berlainan ragam iaitu kombinasi teknik ikat iaitu gabungan tie and dye dengan blok dan batik lukis & tie and dye dengan skrin.
3. PENJAGAAN BATIK
Batik memerlukan penjagaan yang mudah. Kaedahnya, bagi cucian pertama batik,adalah digalakkan supaya digunakan cara cucian kering (dryclean) dengan kos kurang RM10 bagi sepasang baju. Tujuannya ialah untuk menjaga kilatan
pada batik. Pilihan lain, batik boleh dicuci terus tetapi cucilah berasingan dengan cucian yang lain dan hendaklah dijemur di tempat redup dan tidak terdedah kepada matahari bagi menjaga ketahanan batik.
Manakala untuk memudahkan batik digosok, penggunaan semburan pelembut pada batik adalah baik untuk diamalkan.
4. SERAMAI 320 USAHAWAN BATIK BERDAFTAR DENGAN KRAFTANGAN MALAYSIA
Di Malaysia terdapat seramai 320 usahawan batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia yang bergiat aktif dalam pengeluaran batik. Secara keseluruhannya, Negeri Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai jumlah pengusaha tertinggi dalam pengeluaran batik. Namun begitu,perusahaan batik turut juga berkembang di setiap negeri di Semenanjung juga di Sabah.
Sumber : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia